Saturday, September 17, 2011

Hidup Ibarat Keretapi



Hidup ini ibarat menaiki keretapi. Terdapat banyak laluan dan perhentian yang harus dilalui untuk kita sampai ke destinasi yang ingin dituju. Di setiap laluan itu akan terdapat gerabak yang akan bergerak dari satu perhentian ke perhentian yang lain. Dan dalam gerabak tersebut kita akan bertemu dengan insan yang mempunyai bermacam ragam. Ada antara insan itu akan membantu kita namun tidak kurang juga yang akan menjatuhkan kita. Setiap insan tersebut akan mengajar kita sesuatu yang berguna yang kita boleh bawa ke gerabak seterusnya. Dan sesampainya kita ke perhentian, ada antara kita akan turun untuk ke gerabak lain, manakala yang lain kekal di gerabak yang sama. Apabila gerabak itu bergerak dan menuju ke perhentian seterusnya, kitaran yang sama akan berulang.

Insan-insan yang kita temui di gerabak sebelumnya, mungkin tidak akan dapat kita temui lagi kerana laluan kita sudah berbeza. Adapun dapat kita menemui mereka, mungkin hanya sekilas pandang di perhentian atau cuma sebentar dan sekadar untuk bertegur sapa kerana kita harus ke segera gerabak masing-masing agar tidak ketinggalan. Selepas pertemuan itu, kita akan kembali bersendirian, di gerabak masing-masing.